Tuesday, March 8, 2011

melihat kisah hidup orang lain

Kalau kita dengar realiti kehidupan orang miskin dan banyak kekurangan dari kehidupan yang kita rasa sekarang, baru kita tahu betapa bertuahnya hidup kita.

Lepas umi habis sekolah, biasalah, kami akan berkumpul dan berbual. Umi cerita, lepas habis sekolah, umi bawa 2 anak muridnya ke Wafi Optometrist untuk anak muridnya tu buat cermin mata. Oleh kerana mereka ni anak orang miskin, jadi kos untuk buat cermin mata ini akan ditanggung oleh sekolah. Umi pegang bahagian kebajikan di sekolah, so memang rutin bawa murid-muridnya ke tempat buat spec ni.

Oleh kerana umi cikgu kebajikan juga, banyak kisah yang umi selalu cerita tentang kedaifan dan kemiskinan anak-anak muridnya yang selalu buat saya rasa, betapa bertuahnya diri ini.

Salah seorang anak murid umi ni, ibu bapanya bercerai. Kini, dia tinggal bersama bapanya. Bapanya hanya kerja di kilang batik. Menurut umi, bapanya jenis yang 'baik' dan agak lurus bendul, jadi majikan di tempat kerjanya kadangkala bagi gaji, kadangkala tak bagi gaji. Ada juga jenis majikan yang macam ni, bukan nak tolong orang miskin, tapi menganiayai orang miskin.

Bila umi cerita tentang ibunya, lagi buat diri ini sedih. Terfikir di benak fikiran, ada juga jenis ibu yang macam ni. Bagiku, ibulah tempat segala-segalanya. Ibulah insan tempat meluah perasaan, insan yang akan mendidik dan mengasuh anak, menyediakan makanan, meyediakan segala keperluan yang lain, dan banyak lagi tugas ibu yag tak mampu saya huraikan.

Syukur saya punya ibu yang begitu penyayang dan menjaga segala kebajikan anak-anaknya. Bercakap mengenai ibu pelajar tadi, bagi saya agak jahat. Selepas ibunya bercerai dengan ayahnya, ibunya berkahwin dengan mamat Pakistan. Selepas mendapat 2 orang anak, bercerai lagi. Kini, menurut anak murid umi, ibunya akan berkahwin lagi dengan mamat Arab pula dalam masa yang terdekat.

Ibunya bukan jenis yang prihatin. Hinggakan beras, makanan, dan duit yang ada di rumah bekas suaminya (ayah kepada anak murid umi) pun dikebasnya. Hinggakan mereka tiada duit dan barang makanan untuk makan. Kadangkala, beberapa hari mereka tak menjamah nasi. Umi cerita lagi, ibunya selalu memarahi dan memaki hamun anak murid umi ni tanpa sebab. Menurut umi, anak murid umi ni seorang pelajar yang baik, walaupun agak tak pandai, sebab berada di kelas yang paling hujung.

Zalimnya manusia! Zalimnya perlakuan seorang ibu terhadap anak yang dikandung selama 9 bulan!

Tragisnya kisah keluarga mereka. Bersyukur aku punya keluarga yang penyayang, yang bagiku lengkap segalanya. Memang, bukan segala yang kita ada sempurna, tapi, bila kita melihat betapa kurangnya kehidupan manusia di luar sana, kita akan rasa betapa sempurnanya hidup kita.

Kadangkala kita perlu melihat orang yang di bawah kita untuk mengetahui betapa nikmatnya hidup kita, betapa bersyukurnya dengan apa apa yang kita punya sekarang.

Abah pun selalu cakap, tengok kehidupan orang miskin, bantu mereka. Oleh kerana saya pun tinggal di kampung, banyak kehidupan orang miskin di kampung ini yang selalu buat diri ini rasa cukup dengan apa yang ada.

Konklusinya. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.


notakaki :: Sedih bila umi cakap kat rumah anak muridnya tu tak pernah pun ada susu pekat manis :(

0 sila..silakan komen..:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog Template by BloggerCandy.com