Thursday, January 16, 2014

ingatan buat pencinta Rasulullah


Ini nukilan dari Ustaz Rosli Jabbar yang menyentuh hati saya. Moga perkongsian ini ada manfaatnya. Sengaja saya abadikan dalam blog ini untuk tatapan diri sendiri di masa hadapan.

Moga Allah suburkan cinta di hati kita buat sang Rasul yang tak pernah kita bersua. Moga Rasulullah kenal & memberi syafaat kepada saya di akhirat kelak . Allahumma ameen :)

*************************************************

Sedikit ingatan sempena MaulidurRasul SAW buat murid-muridku di Ma'had Tahfiz Darul Fikri, juga dimana-mana sahaja.

Jangan hanya sekadar membuai hati untuk menanamkan rasa rindu kepada Rasulullah SAW dengan berselawat kamu semata-mata. Menelusurilah perjalanan dakwahnya, rasailah kepahitan natijah perjuangannya. Rasulullah SAW tidak diutuskan oleh Allah swt untuk kita berselawat kepadanya semata, tetapi juga sebagai Qudwah dalam seluruh kehidupannya.

Jangan hanya gembira dengan kelahirannya, kerana kelahirannya hanya seketika, tetapi perjuangannya sepanjang hayat. Jangan hanya bermanis wajah dan berair mata berselawat kepadanya, tetapi tidak sanggup untuk berkerut duka, bermandi peluh dan darah untuk menuruti dan berhadapan dengan Ibtila perjuangannya.

Janganlah berselawat kerana halobakan pujian kerana ingin dikatakan cinta kepadanya, tetapi menjauhkan diri daripada perjuangan untuk menegakkan Islam yang terpaksa menerima kejian dan fitnah, Rasulullah SAW tidak hanya dicintai orang yang beriman tetapi juga dibenci oleh musuh-musuh Allah SWT.

Jangan hanya beramal dengan amalan Rasulullah SAW yang menyebabkan kamu dihormati, tetapi beramallah juga dengan amalan Rasulullah SAW yang menyebabkan Rasulullah SAW diperangi oleh musuhnya. Jangan hanya bersunnah dengan natijah kegembiraan tetapi menjauhkan diri dari kedukaan mehnah perjuangan.

Jangan hanya berpakaian indah untuk berada dipentas-pentas selawat semata, tetapi jejakkanlah kaki mu di medan perjuangan yang pastinya menyebabkan tubuhmu meleket peluh, pakaianmu bersalut debu, kulit mu hitam terbakar dek kepanasan kerana itulah juga perjalanan Rasulullah SAW.

Janganlah rasa kamu hebat kerana indahnya suaramu berselawat, lalu kamu lupa untuk menyatakan kebenaran yang akan menyebabkan hilangnya penghormatan musuh Islam terhadapmu. Rasulullah SAW tidak hanya disantuni tetapi Rasulullah SAW juga disanggah.

Jangan hanya bersunnah dengan makanan yang lazat-lazat dari apa yang pernah dimakan oleh Rasulullah SAW, hingga kamu lupa berpuasa dan lupa bahawa Rasulullah SAW juga kelaparan ketiadaan makanan. Ingatlah ketika kamu pelahap memamah makanan yang dikatakan Sunnah lalu kamu lupa Sunnah untuk membantu orang-orang fakir dan miskin yang kekurangan makanan.

* Perbanyakkan selawat keatas Junjungan Rasulullah SAW.
* Beramallah dengan sunnahnya.
* Menelusurilah perjuangannya.


Jadilah Islam yang tulin, jangan jadi Islam yang tuli. Yang manis itu kudapan dan yang pahit itu ubatan. Semoga aku dan kamu semua mendapat Syafa'at daripadanya di Akhirat nanti.

0 sila..silakan komen..:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog Template by BloggerCandy.com