Wednesday, September 29, 2010

kelebihan seorang WANITA


Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali, Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh, Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat, 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil, Wanita yang memberi minum susu dada kepada anaknya akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah didalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan. Wanita yang menguli tepung gandum dengan "bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.

Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada sianghari. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin,dia akan dikira sebagai mati syahid. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya. Jika wanita memberi susu dadanya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

Ya Allah..
Jadikanlah aku wanita yang solehah...
Wanita yang menurut segala perintahMu dan meninggalkan laranganMu..
Wanita yang tabah dan sabar menghadapi segala dugaanMu...
Thabatkanlah aku atas jalan yang kupilih...
Jangan sesekali biarkan aku terpesong dari landasanMu...
Matikanlah aku dalam husnul khotimah...
Moga syurga menjadi milikku, walau ku tahu ku tak layak meminta...

Tuesday, September 28, 2010

ingatan ringkas...


Untuk post kali ini, ringkas saja. Sekadar peringatan ringkas buat diri dan sahabat semua.

"Syurga dipagari dengan perkara yang dibenci dan neraka dipagari dengan nafsu."
(Riwayat Muslim)

Jadi, sama-samalah kita mengajak diri dan sahabat ke arah kebaikan. Jauhkan diri kita dan sahabat dari perkara yang mungkar dan kejahatan, walaupun nafsu amat suka dengan benda yang dilarang Allah. Sama-samalah kita didik hati kita agar bersabar. Kejap je, sabar kat dunia ni je pun. Ingat balasan Allah di akhirat sana. Ingat azab api neraka, ingat balasan syurga Allah. Ingat, bukan mudah untuk menggapai syurga Allah, tapi itu tak bermaksud mustahil untuk kita dapatkannya..

Monday, September 27, 2010

aku ingin jadi yang asing itu...


Dunia akhir zaman ni memang mencabar. Banyak benda yang nafsu inginkan, tapi dilarang agama. Agama melarang kerana ada hikmahnya. Mungkin kita tak nampak apa hikmah di sebaliknya, tapi Allah sebagai pencipta kita. Dia tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Sebagai remaja pun, banyak jugak cabarannya. Zaman remaja inilah fasa kita mencari diri. Zaman remaja inilah fasa yang kita ingin mencuba segala bagai. Tapi ingatlah, jangan kita hanyut dalam zaman remaja ni. Menyesal tak sudah nanti. Jangan kerana ingin ikut kawan, kita jadi lalai. Lalai dalam keseronokan dunia.

Di sini, saya ingin kongsikan artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal, penulis Saifulislam. Saya minta sangat-sangat agar anda semua baca. Memang panjang tapi tak makan masa yang lama pun. Alah, kita kalau tengok movie 2-3 jam tu boleh pulak kan. Jom-jom baca. Tak rugi. Moga ada kebaikan yang dapat kita semua ambil dari artikel yang bermanfaat ini.

*******************************************

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil”
[Hadith Muslim no. 145]

Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah. Masakan tidak. Islam datang menongkah kebiasaan. Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia.

Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan. Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan. Arak yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.

Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan. Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut.

Itulah nasib Islam di awal zamannya. Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya. Kejanggalan dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada Baginda SAW dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan, berteraskan iman. Mereka ganjil bukan sebab mereka salah. Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai.

Firman Allah SWT:
“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.”
[Hud 11: 116]

Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti. Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan. Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.

Mereka inilah GHURABA! Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”
[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]

Baginda ditanya,

“Siapakah orang-orang yang asing itu?”

Baginda menjawab,
“Iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak”
[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani]

Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab,
“Iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”

Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab,
“Mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya”

Pernahkah anda berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam? Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, anda yang memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah anda berasa seperti itu?

Ketika kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna menuju malam, anda yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah anda mengalami pengalaman seperti itu?

Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, anda memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan besarnya kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah anda berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?

Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, anda memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu anda dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah anda berasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?

Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba anda yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah anda dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Tooba lil Ghurabaa’!

Firman Allah SWT:
“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
[al-An’aam 6: 116]

Allah SWT juga menyebut:
”Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)”
[Yusuf 12: 103]

Allah ‘Azza wa Jalla berpesan lagi:
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik”
[al-Maa’idah 5: 49]

Allah SWT memberikan peringatan di dalam al-Quran:
“Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur”
[Yusuf 12: 38]

Bersabarlah jika anda dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada anda memilih Islam di zaman yang penuh cabaran ini. Keganjilan yang pertama, adalah keganjilan kerana memilih kebenaran. Keganjilan ini tidak menjadikan kaum minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan.
Di Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut apakah agama dan cara hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “Apakah kamu tidak pergi menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami abdikan diri kepada-Nya selama ini”
[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Namun, Syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia mengheret manusia untuk meninggalkan kebaikan yang menjadi pegangan generasi yang lalu, dan Islam kembali menjadi asing. Oleh kerana itu, janganlah kecundang dengan rasa rendah diri dan terasing kerana memilih Islam. Ia adalah pusingan kehidupan yang sudah pun diberitakan.

Suatu ketika, Rasulullah SAW ditanya tentang maksud firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan”
[al-Maa’idah 5: 105]

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
"Bahkan sesungguhnya serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai. Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?” Baginda menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu”
[Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain]

Ya, bagi kita yang bersabar dengan tekanan dipandang asing kerana mempertahankan Islam, ganjarannya ialah seperti ganjaran 50 orang sahabat. Sebabnya jelas, pengalaman yang sama turut dirasai oleh sahabat di awal permulaan Islam. Islam asing di zaman permulaannya. Islam kembali asing di zaman kemudiannya. Teruskanlah mujahadah anda untuk mengusahakan perubahan.


SUMBER:
ABU SAIF @ http:www.saifulislam.com

akhirnya sampai jua..

Salam semua...

Untuk pengetahuan anda semua, saya telah selamat sampai di rumah. Alhamdulillah. Takut jugak kan kalau tak sampai rumah. Malam sebelum hari saya naik bas tu saya tak tidur. Excited sangat nak balik Kelantan. Malam tu saya online, ada la jugak baca online newspaper dan terbaca artikel pasal bas yang kemalangan. Takut saya dibuatnya. Cepat-cepat saya tunaikan solat sunat musafir. Moga Allah selamatkan perjalanan saya.

Ustaz saya juga pernah pesan, kalau kita dalam bus ke kereta ke flight ke, apa2x je la kan, baca doa naik kenderaan. Mungkin dengan doa yang kita baca, Allah selamatkan kita dari bencana atau kemalangan.

Sampai di stesen, abah yang ambil saya. Dalam kereta, biasalah, abah saya suka beri nasihat. Banyak sebenarnya. Tapi antara yang saya ingat abah cakap antara doa yang mudah dimakbulkan ialah doa orang musafir. So, kalau tengah musafir tu, banyakkanlah berdoa, bukannya banyak dok tidur atau dok dengar lagu je sepanjang perjalanan. Haa, terlanjur cakap pasal waktu mustajab doa ni, saya nak sharelah waktu-waktu yang mustajab doa....

1. Di tengah malam atau sepertiga malam yang akhir
2. Selepas solat fardu
3. Berdoa di tempat sunyi supaya khusyuk
4. Di tengah malam atau sepertiga malam yang akhir
5. Selepas solat fardu
6. Berdoa di tempat sunyi supaya khusyuk
7. Ketika dalam peperangan atau darurat
8. Ketika sujud
9. Ketika dizalimi orang
10. Ketika musafir
11. Bapa mendoakan kebaikan anak
12. Ketika wukuf di Padang Arafah
13. Selepas solat Subuh sebelum terbit matahari
14. Selepas solat Asar
15. Ketika mahu berbuka puasa
16. Ketika sakit
17. Doa pada malam Lailatulqadar
18. Doa pada malam Jumaat
19. Doa dalam Masjidil Haram
20. Berdoa dalam Masjid Nabawi (terutama di Raudhah)
21. Berdoa di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis
22. Apabila khatam membaca al-Quran
23. Doa raja yang adil
24. Doa anak yang taat kepada ibu bapa
25. Doa ketika tawaf mengelilingi Kaabah
26. Berdoa dekat Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah) di Masjidil Haram
27. Berdoa di belakang makam Nabi Ibrahim di Masjidil Haram
28. Berdoa di Hijr Ismail
29. Berdoa di mana juga masjid kerana ia rumah Allah

Oklah, sebenarnya sekarang tengah cuti sem. Lebih kurang sebulan saya akan berada di rumah. Moga saya akan buat benda yang berpekdoh sikit cuti-cuti ni. Haa, saya juga akan jadi bibik taw kat rumah ni. Almaklum lah rumah tak de bibik. Umi dan abah kerja. Adik-adik semua sekolah. So, takkan saya nak jadi macam tunggul kat rumah ni tak buat apa-apa kat rumah. So, hari-harilah kena masak dan kemas rumah ye. Basuh baju, jemur baju dan lipat baju saya tak suka buat. Alah skit dengan baju-baju ni. Dahlah banyak, beselah, 7 orang semuanya dalam rumah ni. Hee, malas betul kan, kan...

Oklah, setakat ini saja coretan saya. Harapnya result final saya yang akan keluar nanti akan buat saya happy. Ya Allah, doa dan usaha mengiringi, kini aku hanya bertawakkal padaMu. Kau tahu apa yang terbaik buatku Ya Allah...

p/s :: esok nak try wat Lemon Chicken, ntah jadi ke tak. Hehe. 1st trial la ni..

Thursday, September 16, 2010

jenayah di Malaysia

Negara kita digemparkan dengan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan 3 lagi mangsa lain. Di sini saya ingin kongsikan apa yang telah saya baca tentang jenayah di Malaysia selain dari kes pembunuhan Datuk Sosilawati pada tahun ini. Moga kita jadi remaja yang cakna dengan perkembangan di negara kita, bukan hanya jadi ulat buku sahaja!

Kes jenayah yang lain termasuklah:

a. Ustazah Norliza Ishak 35, (yang dibunuh kejam bersama anaknya Amirul Ayman 10, pada 3 Sept 2010 - Port Dickson)

b. Datuk Sosilawati Lawiya 47, dan 3 mangsa yang lain (juga dibunuh kejam setelah hilang sejak 30 Ogos 2010 - Kuala Lumpur)

c. Mohamad Adam Muzaffar telah disembelih oleh bapanya (Muhaimi Sautar 33, pada 24 Ogos 2010 - Kota Bharu)

d. Noraini Ahmad, 20, dirogol dan dibunuh dengan kejam, ditemui dalam keadaan kepalanya cedera parah dan tangannya diikat dengan dawai pada 12 Ogos 2010 - Sungai Petani) .

e. Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, dan Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, cedera parah di bahagian muka dan mata apabila disimbah cuka getah dalam satu kejadian amuk di Kampung Sekayu pada 15 Ogos 2010 - Hulu Terengganu)

f. Ilya Nabilah Rosnata, 19, ditemui mati dirogol dan dibunuh dengan kejam dengan kesan tikaman pada bahagian dadanya , dipercayai telah dibunuh seminggu sebelum dijumpai terapung di Sungai Bagan dan tangannya diikat pada sebatang pokok 21 Julai 2010 - Pulai Chondong, Machang.

g. Pengawal Keselamatan dibunuh dengan kejam dalam satu kejadian di Pekan Batu 9. Mangsa dipercayai telah dilanggar terlebih dahulu dan kemudiannya tangan kirinya dipotong dengan sebilah parang pada 4 Julai 2010 di Kajang.

h. Amir Khan Abdullah @ Balwant Singh, 53, ditemui mati berlumuran darah dengan tujuh tikaman di kepala sehingga terkeluar otaknya dan tiga tikaman di dada kiri di atas tilam dalam sebuah bilik di rumahnya pada 1 Julai 2010 di Selayang.

i. Siya Pandian, Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak mati ditembak di bahagian kepala dan dadanya di hadapan kedai mencuci kereta miliknya pada 15 Mac 2010 di Langkap Teluk Intan, Perak.

j. K. Haresarren 18 bulan mati selepas mengalami keretakan tulang rusuk , hatinya pecah dan lebam di seluruh tubuh kerana didera teruk pada 3 Mac 2010 di Petaling Jaya.

k. Pada 25 Februari 2010 , Syafiah Humairah 3, mati dipukul, disepak dan dipijak di Shah Alam

l. Atan Daud, 90, Sutiah Katas, 80, Ismail Awang, 76, dan Siti Khatijah Ismail, 22, ditemui terbunuh dengan begitu kejam pada 5 Januari 2010 di Gemencheh.

sekitar rayaku

Salam a'laik..

Pagi ni rasa gatal-gatal tangan nak update blog. Nak study pagi-pagi ni macam malas pulak. Eh, eh, bukan malas la, rajin sebenarnya, tapi lepas ni la ye saya study. Macam tipu je ayat ni kan.

Hari jumaat ni saya akan balik kl sebab hari sabtu ada wedding pak cik saudara saya kat seremban. Hari ahad tu maybe dah balik UIA kot. Dan, yang paling BEST ialah hari RABU dan KHAMIS tu sebab saya EXAM 2 hari ni. Doakan kejayaan saya ye pembaca blogku sekalian.

Macam lari dari tajuk post ni pulak. Sebenarnya nak cakap pasal raya. Alhamdulillah, syukur saya ucapkan kerana diberi nikmat olehNya untuk menyambut lebaran untuk Syawal kali ini. Beraya bersama kelaurga tersayang merupakan satu nikmat yang tak boleh saya nak gambarkan. Saya happy bersama family saya.

Raya tahun ni macam tahun-tahun yang sebelumnya, tapi macam biasa, sangat best. Kami sekeluarga buat open house pada hari raya kedua. Antara sahabat saya yang datang ialah pipah, syikin dan mcsyah je. Sikit je kan sebab actually ramai yang tak tahu rumah saya kat mana sebab jalan nak ke rumah saya ni pelik sikit.

Raya tahu ni juga saya sempat berziarah ke rumah Afifah, Syikin dan Mirah K. Ziarah tu kan sunnah nabi. Seronok sangat dapat kumpul ramai-ramai dengan kawan sekolah Naim dulu. Teringat memori kat Naim dulu yang sangat manis-manis semuanya. Eh, eh, sebelum saya lupa, terima kasih sangat-sangat saya ucapkan pada driver saya, syikin, sebab sanggup hantar saya ke rumah nenek saya sampai malam. Kesian kat dia kena lecture ngan abang dia sebab sampai rumah malam. To syikin, tahun depe jadi driver ak pulok deh!

Oklah, malas nak cerita panjang-panjang. Saya kan dah cakap saya nak pergi study kan, kan.

Oklah, enjoy da pics ya ! Random je ni...

Saya dan Cik Ti bersama sepupu saya, Kak Wani
yang kahwin di malam raya


Balik KL mesti miss budak tecit ni sangat2x

Adikku, nurul yang tak sempat posing. Hehe. Candid ye!

Syikin bersama empunya blog

Pipah dan syikin di rumah empunya blog

Kami di Majlis Mesra Aidilfitri bersama Tok Guru Nik Aziz

Bergambar kenangan di rumah Cik Afifah

Saya bersama wani dan tikah. Cik tikah (sebelah kanan saya)
ni baru balik dari Mesir taw. Lama sangat tak jumpa dia


Athirah^3
(Athirah Ariffin, Isna Athirah, Athirah Razali)


~Doaku, moga sempat aku bertemu Ramadhan dan Syawal untuk tahun hadapan~

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan buat semua, kepada umi abah, adik-adikku tecayam, keluarga tercinta, kawan-kawan yang saya sayang semua, sahabat, kawan-kawan FB, pembaca setia blog ni (bajet ramai je kan), ex-SRI Aman, ex-SR Zainab 1, ex-SMKA Naim, kawan-kawan di UTP dahulu, sahabat di UIA, senior junior dan sape-sapelah yang mengenali saya.

Mohon maaaf seribu maaf andai tersilap kata, terlanjur bicara. Saya manusia hina dan lemah yang tak lari dari melakukan kesilapan.

Akhir kata, "Taqabbalallah Minna wa Minkum", semoga Allah menerima ibadah kita semua.

Pemergian ramadhan itu ibarat perginya perkara terbaik dalam hidup...
ya rabbi..
moga diri ini diberi kesempatan untuk bertemu lagi ramadhan akan datang...

p/s :: sepupu saya bakal bersatu dengan bakal suaminya malam ni, saya doakan, moga istana yang dibina akan kekal buat selamanya, dan diberkati Allah....Amin...

p/s : jangan lupa pose 6 taw, taw..

Wednesday, September 8, 2010

ramadhan+raya+exam


Salam 29 Ramadhan...

Post ini saya tulis selepas membaca post yang ditulis oleh kak afiqah, klik sini. Berkenaan EXAM..

Untuk pengetahuan semua, saya akan menduduki final exam pada 22 dan 23 September 2010. Lebih kurang lepas raya la. Tapi kan, jujur saya katakan, dalam banyak-bayak dan berkilo-kilo buku yang saya bawak balik, sikit je yang saya sempat sentuh.

Kalau exam mesti ada result kan. Dan semua mesti mahukan result yang TERBAIK. Kalau boleh nak dapat 4 flat, kalau boleh nak dapat A. Tapi, usahanya, entahlah.

Sama gak la macam Ramadhan ni, beberapa hari je lagi kita bakal menyambut Aidil Fitri, iaitu Perayaan Fitrah. Pelik kan bila translate jadi bahasa Melayu. Tapi itulah maksud AidilFitri. Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Persoalannya, adakah kita telah graduate dengan berjayanya di bulan Ramadhan ni ??? Saya syorkan anda klik SINI untuk baca tentang "Kamu tidak layak untuk AidilFitri", nukilan Hilal Asyraf.

Ok, berkenaan exam saya pula. Post ni sebenarnya ditulis untuk menaikkan kembali semangat belajar saya yang dah hilang entah ke mana dah. Sejak-dua menjak balik rumah ni, malas sangat nak bukak buku. Saya sangat tidak suka perasaan yang semacam ini. Saya tak nak menyesal di kemudian hari. Jadi, mulai post ini ditulis, saya perlu, eh, eh, bukan perlu, WAJIB, rajin-rajinkan diri saya untuk belajar BERSUNGGUH-SUNGGUH. Ingat, Allah tak akan tolong kita kalau kita sendiri yang malas nak tolong diri kita. Mulakan study sekarang, jangan suka bertangguh cik Athirah ooiii...

Jadi, sahabat semua, doa-doakanlah agar saya berjaya dalam exam yang akan mendatang. Dan yang penting, doakanlah agar saya berjaya Dunia dan Akhirat.

Tuesday, September 7, 2010

tarawih di Kelantan

Assalamualaikum w.b.t...

Salam 28 Ramadhan...

Alhamdulillah, untuk solat tarawih malam 28 Ramadhan, saya dan keluarga berkesempatan untuk solat tarawih Qaryah Ramadhan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV. Di sana, berkesempatan menjadi makmum kepada imam dari Mesir, Syeikh Rejab Saad Yaasin dan Syeikh Ahmad Ramadhan Ayyub Muosa.

Buat pengetahuan semua, kami sekeluarga sampai agak lewat di khemah itu, jadi terpaksa la solat di luar khemah kerana jemaah yang hadir pada malam itu sangat ramai. Suasana ini seperti tahun-tahun yang sebelumnya, sangat ramai rakyat Kelantan yang solat tarawih di sini.

Mungkin pada sesetengah pihak, membazir je buat qaryah ramadhan ni, sebab banyak jugak duit yang dibelanjakan. Tapi, bagi saya, langsung tidak! Sebab apa? Sebab Islam nampak gah bila umat Islam solat jemaah ramai-ramai di tengah bandar. Umat Islam nampak bersatu. Bersahur dan buka puasa juga disediakan di qaryah ini, tapi, saya tak join la sebab tak sempat. Meriah. Kota Bharu sungguh meriah di malam-malam Ramadhan.

Saya sangat suka suasana di Kelantan yang seperti ini, untuk pengetahuan semua, sempena Ramadhan kali ini, pelbagai program yang telah dianjurkan oleh kerajaan negeri bagi menghidupkan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini antaranya, Forum Badar Kubra, Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan 3000 orang, Majlis Tilawah Al-Quran dan banyak lagi. Semua program ni saya tak sempat hadir, padan muka ye...

Saya juga dapat tahu yang pada malam ambang kemerdekaan, diadakan solat hajat perdana di perkarangan stadium. Kalau nak tahu lebih-lebih, Google la sendiri ye. Macam ni lah kalau nak sambut Merdeka cara Islam, ni tidak, buat konsert la, yang memang kita tahu banyak perkara yang bertentangan dengan Islam berlaku. Contohnya, percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Oklah, sekadar itu sahaja coretan saya hari ini...

Sempena Ramadhan masih berbaki ni, marilah sama-sama kita tingkatkan amal ke tahap maksimum ye..Ini peringatan buatyang menulis juga...

Sunday, September 5, 2010

Risalah Amalan 10 Terakhir Ramadhan

AMALAN UMUM :

a) Sebolehnya beri’tikaf.
b) Mandi antara solat Maghrib dan Isya’.
c) Tidak bersama (jima’) dengan isteri.
d) Makan sedikit waktu iftar .
e) Solat fardhu berjemaah.
f) Solat Rawatib dan Nawafil.
g) Baca Al-Qur’an sebanyak-banyaknya.
h) Bersedekah.
i) Membuat segala amal kebaikan yang termampu termasuk pergi ke majlis ilmu dan muzakarah, menziarahi para alim ulama’ dan orang-orang soleh, khidmat kepada kedua orang tua atau guru/ masyaikh, bersifat ihsan/ belas kasihan kepada semua makhluk dan lain-lain.
j) Usahakan untuk mengkhatam pada setiap hari bermula 20 Ramadhan :
1- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ (1000x)
2- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ (1000x)
3- اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ (1000x)
4- Surah Al-Ikhlas (100x, atau paling sedikit 25x)

AMALAN KHUSUS:

PAGI:
1- Solat sunat sebelum Subuh, solat fardhu Subuh berjemaah, wirid selepas solat .
2- Al-Wird al-Lathif dan Hizb an-Nawawi.
3- Sebelum naik matahari baca :
i- سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ (100x)
ii- لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ (100x)
iii- سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ (100x)
iv- سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ (100x)
v- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (100x)
4- Solat sunat Isyraq dan sunat Dhuha.

TENGAHARI:
1- Solat Qabliyyah Zohor, solat fardhu Zohor berjemaah, solat Ba’diyyah Zohor.
2- Ratib al-Aththos.
3- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، اَلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ (25x)

PETANG:
1- Solat Qabliyyah Asar, solat fardhu Asar berjemaah.
2- Hizb al-Bahr.
3- اَللهُ أَكْبَرُ (100x)

MAGHRIB:
1- Berzikir dan berdoa ketika hampir waktu berbuka puasa .
2- Berbuka puasa, solat fardhu Maghrib berjemaah, solat Ba’diyyah Maghrib.
3- Solat sunat Awwabin.
4- Ratib al-Haddad.

ISYA’:
1- Solat Qabliyyah Isya’, solat fardhu Isya’, solat Ba’diyyah Isya’.
2- Solat Tarawih dan Witir.

Amalan pada malam yang diharapkan Lailatul Qadar :

Bermula pada pukul 12 tengah malam:
1- Mandi, memakai pakaian yang bagus, berhias diri dan berwangi-wangian .
2- Berwudhu’, solat sunat Wudhu’.
3- Solat Hajat mohon agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
4- Membaca Al-Qur’an.
5- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ (100x)
6- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ (1000x)
7- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ حَيٌّ دَائِمٌ لاَ يَمُوتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (400x)
8- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْحَلِيمُ الْحَكِيمُ، سُبْحَانَ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ (3x)
9- سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ (100x)
10- سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ (200x)
11- اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ (1000x)
12- Ayat Al-Kursi. (3x)
13- Solat sunat Tahajjud, Taubah, Hajat, Tasbih, Witir.
14- Al-Wird al-Lathif.
15- Membaca doa khusus .
16- Solat Lailatul Qadar .
17- Paling kurang solat Isya’ berjemaah dan solat Subuh berjemaah .

LAMPIRAN:

(A):

Sebelum berdoa bacalah:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Sebelum berselawat bacalah:
إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sebelum berzikir atau bertasbih, bacalah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ اَمَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا. وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً
Tujuannya ialah supaya mengingatkan hati agar sentiasa tunduk dan patuh kepada suruhan Allah untuk berdoa, berselawat dan berzikir serta bertasbih kepadanya .

(B):

Usahakan untuk tidak meninggalkan 2 amalan ini selepas salam pada solat Subuh:

1) Membaca sebanyak 10 x dalam keadaan masih duduk Tahiyyat Akhir (sama ada masih duduk Tawarruk atau Iftirasy) dan tidak berkata-kata sehingga selesai bacaan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Fadhilat:
Hadith dari Abu Zar berkata: Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan kakinya masih seperti kedudukan duduk Tasyahhud Akhir, sebelum berkata-kata 10 kali, ditulis baginya 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa), diangkatkan baginya 10 derjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga dari segala perkara yang dibenci, terbenteng dari syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali perbuatan syirik (menyekutukan) Allah.”

2) Membaca sebanyak 7 x sebelum berkata-kata sehingga selesai bacaan:
اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
“Ya Allah, peliharalah aku dari api neraka”

Fadhilat:
Hadith dari Al-Harith bin Muslim dari ayahnya berkata: Nabi bersabda: Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka.”

Cacatan:
Boleh juga menggunakan shighah (bentuk) jama’ (ramai) umpamanya:
اَللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ
“Ya Allah, peliharalah kami dari api neraka”

(C):

Zikir dan doa ketika hampir berbuka puasa:

1- أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ (3x)
2- اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا (3X)
3- يَا كَرِيمُ (1x)
4- Doa:
اََللَّهُمَّ سَلِّمْنَا لِرَمَضَانَ وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لَنَا، وَسَلِّمْهُ لَنَا مُتَقَبَّلاً حَتَّى يَنقَضِيَ وَقَدْ غَفَرْتَ لَنَا وَرَحِمْتَنَا وَعَفَوْتَ عَنَّا، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فِيهِ الْعَافِيَةَ الْحَالَةَ وَالرِّزْقَ الْحَسَنَ وَدِفَاعَ اْلأَسْقَامِ، وَالْعَوْنَ عَلىَ الصَّلاَةِ وَالصِّيَامِ وَالْقِيَامِ وَتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا لَيْلَةَ الْقَدْرِ، وَأَعِنَّا عَلَى الصَّلاَةِ وَالْقِيَامِ وَتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ وَالْعَمَلِ فِيهَا حَتَّى تَرْضَى عَنَّا.
“Ya Allah, selamatkanlah kami untuk Ramadhan dan selamatkanlah Ramadhan untuk kami. Dan selamatkanlah ia untuk kami sehingga ia pergi dalam keadaan Engkau telah mengampuni kami dan merahmati kami. Ya Allah, berikanlah kami di dalamnya keafiatan yang segera, rezeki yang baik, perlindungan daripada penyakit, serta pertolongan untuk melakukan solat, puasa, beribadah pada waktu malam dan membaca Al-Qur’an. Ya Allah, rezekikanlah kami Lailatul Qadar dan bantulah kami untuk bersolat, beribadah pada waktu malam, membaca Al-Quran dan beramal di dalamnya sehingga Engkau redha dengan kami.”

Boleh juga membaca doa dan zikir-zikir lain.

(D):

Walaupun tarikh berlakunya Lailatul Qadar menjadi rahsia Allah, para ulama dan Ahli Sufi telah membuat kaedah dengan harapan berjumpa dengan malam berkat tersebut, mengikut pengalaman masing-masing.

Kaedah:

Di dalam kitab Hasyiah Fath al-Wahhab disebutkan bahawa: Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam ke 29, jika hari Isnin, malam ke 21, jika hari Selasa atau Jumaat, malam ke 27, jika hari Khamis, malam ke 25 dan jika hari Sabtu, malam ke 23. Kaedah ini juga disebut di dalam Al-Barmawi dan Al-Qalyubi (2/26).

Di dalam kitab Al-Jauhar al-Mauhub dan Al-Bujairami ‘ala al-Khathib (2/410), disebutkan bahawa ahli-ahli Sufi termasuklah Syaikh Abu Bakar al-Maghribi, Imam Al-Ghazali dan lain membuat dhobith (kaedah) iaitu jika awal Ramadhan jatuh pada hari Jumaat, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam 29, jika hari Sabtu, malam ke 21, jika hari Ahad, malam ke 27, jika hari Isnin, malam ke 29, jika hari Selasa, malam ke 25, jika hari Rabu, malam ke 27 dan jika hari Khamis, malam ke 21 .

Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama’ mentarjihkan (menguatkan) pendapat yang mengatakan Lailatul Qadar terjadi pada malam 27 Ramadhan berdasarkan keterangan hadith daripada Ubay bin Ka’ab dan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada malam 27 itu .

Tanda-tanda:

1- Malamnya tenang (tidak bunyi bising/ hiruk pikuk), tidak panas dan tidak sejuk.
2- Cahaya matahari pada paginya kelihatan putih cerah, tidak banyak sinarannya .
3- Anjing tidak menyalak .

(E):

Doa khusus dibaca pada malam Lailatul Qadar:
بسم الله الرحمن الرحيم
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا، عَفْوُكَ يَا عَفُوُّ فِي الْمَحْيَا، وَفِي الْمَمَاتِ عَفْوَكَ، وَفِي الْقُبُورِ عَفْوَكَ، وَعِندَ النُّشُورِ عَفْوَكَ، وَعِندَ تَطَايُرِ الصُّحُفِ عَفْوَكَ، وَفِي الْقِيَامَةِ عَفْوَكَ، وَفِي مُنَاقَشَةِ الْحِسَابِ عَفْوَكَ، وَعِندَ الْمَمَرِّ عَلَى الصِّرَاطِ عَفْوَكَ، وَعِندَ الْمِيزَانِ عَفْوَكَ، وَفِي جَمِيعِ اْلأَحْوَالِ عَفْوَكَ، يَا عَفُوُّ عَفْوَكَ.
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku. Aku memohon keampunanMu, wahai Yang Maha Pengampun, dalam kehidupan, dalam kematian, aku juga memohon keampunanMu, dalam kubur aku juga memohon keampunanMu, ketika dibangkitkan aku juga memohon keampunanMu, ketika diberikan lembaran amal, aku juga memohon keampunanMu, ketika sidang perhitungan amal, aku juga memohon keampunanMu, dalam semua keadaan, aku juga memohon keampunanMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, aku memohon keampunanMu.”

Baca juga doa-doa lain. Boleh juga bermohon dalam Bahasa Melayu kepada yang ada hajat jika tidak boleh berbahasa Arab .

(F):

Solat pada malam berlakunya Lailatul Qadar
Lafaz niat:
أَصَلِّي سَنَّةَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku sembahyang sunat Lailatul Qadar empat rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Pada setiap rakaat, selepas membaca Al-Fatihah, hendaklah membaca Surah At-Takathur sekali dan Surah Al-Ikhlas tiga kali.

Solat pada malam 27 Ramadhan .

Ia dikerjakan sebanyak 12 rakaat. Pada pendapat Al-Faqir, boleh juga dikerjakan dengan dua rakaat dan salam, kemudian meneruskannya sehingga ke dua belas rakaat. Pada rakaat pertama, setelah membaca Surah Al-Fatihah, dibaca Surah Al-Qadar 1x dan Surah Al-Ikhlas 15x untuk setiap 2 rakaat.

Rujukan:

Bahasa Arab:
Ihya’ Ulum ad-Din, Imam Al-Ghazali, tahqiq Abu Hafhs Sayyid bin Ibrahim, Al-Qaherah: Dar al-Hadith, 1419H/1998M.
Khulashoh Syawariq al-Anwar min Ad’iyah as-Sadah al-Akhyar, Syaikh Masyaikhuna, Al-Arif billah al-Muhaddith, as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, Al-Qahirah: Dar Wahdan, t.t.
Latho’if al-Ma’arif fima li Mawasim al-‘Am min al-Wazha’if, Imam Ibn Rajab al-Hanbali, ta’liq wa muraja’ah Muhammad al-Iskandarani, Bairut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, Cetakan Kedua, 1416H/1996M.
Mafatih al-Qurb, Al-Arif billah al-Muhaddith, Syaikh Muhammad Zaki bin Ibrahim, Cetakan Kelapan, 1420H/1999M.

Kitab Jawi:
Bughyah ath-Thullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi ash-Showab, Syaikh Daud bin Abdullah al-Faththoni, Dar al-Fikr, t.t.
Jam’ al-Fawa’id wa Jawahir al-Qala’id, Syaikh Daud bin Abdullah al-Faththoni, Maktabah wa Mathba’ah Muhammad an-Nahdi wa Auladuh, t.t.
Al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub, Syaikh Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani, Maktabah wa Mathba’ah Muhammad an-Nahdi wa Awladuh, t.t.
Sair as-Salikin fi Thoriqah as-Sadat ash-Shufiyyah, Syaikh Abdus Shomad al-Falimbani, Pulau Pinang: Percetakan Al-Ma’arif, t.t.

Bahasa Melayu:
Amalan Pelbagai Shalat Sunat: Amalan Bulan Ramadhan & Syawal (Bahagian Keempat), Syaikhuna, Syaikh Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah, 1425H/2004M.
Fazilat Bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadzan, Budiman Radzi, Kedah: Alor Setar, 1408H/ 1988M, ms 34-39.
Perukunan Sembahyang Melayu, Haji Abdur Rasyid Banjar, Pulau Pinang: Percetakan al-Ma’arif, t.t.
Rangkaian Doa Ramadhan: Amalan Meraih Rahmat dan Ampunan, Bonus Majalah al-Kisah, Edisi 18/2008, 16-17, 19-20.
Tazkirah Ramadhan, Syaikhuna, Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Negeri Sembilan: Abnak Production, Cetakan Kedua, 1423H/2002M.

* diizinkan untuk disebarkan dengan niat memanjangkan amalan dan menta’mimkan manfaat dengan menyebut sumber rujukan demi keberkatan ilmu. Bacalah dahulu Surah Al-Fatihah 1x untuk Rasulullah dan ahli baitih, para sahabat, tabi’in dan tabi’in yang mengikuti jejak langkah mereka sehingga hari kiamat, juga kepada seluruh Auliya’illah, para ulama’, fuqaha’ dan muhaddithin, khususnya kepada masyaikh yang mengajar ilmu dan amalan kepada kita…..AL-FATIHAH.

Disusun oleh:
Al-Faqir al-Jani ila Rabbihi al-Qodir al-Ghani
Muhadir bin Haji Joll
24 Ramadhan 1431H/ 4 September 2010M.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog Template by BloggerCandy.com