Sunday, March 20, 2011

menterjemah cinta dengan jalan "Taqrabu al-zina"


Ya, bukan Allah tidak tahu hatimu cenderung pada si dia. Bukan Allah tidak memahami kau selalu merinduinya. Bukan Allah tidak mengerti bayangannya sering singgah di mindamu. Semua itu fitrah. Setiap fitrah ada peraturannya. Kenapa? Supaya fitrah itu tersalur secara mulia dan diredhaiNya.

Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah. Bagaimana caranya?

Kenal pasti dulu kesediaanmu wahai remaja.

Dirimu sedang sibuk bergelumang dengan pelajaran kan? Dirimu belum bersedia untuk berumahtangga kan? Dirimu sedang mempersiapkan dirimu ke arah itu kan? Dirimu sedang mengutamakan prioriti yang lebih penting kan?

Kalau dirimu dalam situasi ini, jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila kau perisaikan dengan mujahadah. Apabila "angau" bertandang, cepat-cepatlah istighfar kepada Allah. Kita beristighfar bukan kerana rindu itu suatu dosa sebaliknya kerana bimbang zina hati akan menjalar. Sibuk-sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang membina diri.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Setiap bani Adam memiliki peluang untuk berzina. Kedua-dua mata itu berzina dan zinanya adalah dengan melihat. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya adalah dengan berjalan. Mulut juga berzina dan zinanya mencium dan hati itu juga berzina dan zinanya hawa nafsu dan angan-angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari zina tersebut" (Riwayat Ahmad)

Gentarlah pada firman-Nya ini yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk" (Surah al-Isra' 17: 32)

Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah S.W.T, "janganlah kamu mendekati zina", maknanya lebih mendalam daripada "janganlah kamu berzina". Firman Allah tersebut bermaksud, " Dan janganlah kamu mendekati sedikitpun juga daripada zina." (Tafsir al-Qurtubi, jil. 10, halaman 253).

Yakni, janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan apa-apa yang membawa kepada zina, apatah lagi sampai berzina. (Tafsir Ruh al-Ma'ani, jil. 15, hlm. 67-68, al-Imam al-Alusi al-Baghdadi, Tafsir Bahr al-Munith, jil. 6, hlm. 33)

Setelah Islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? SMS bertali arus tanpa keperluan. Call siang malam tanpa urusan. Chatting kosong tanpa isi. Dating bertemankan syaitan. Pandang-pandang tanpa pagaran. Khalwat di tempat-tempat sunyi. Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan. Menghalalkan ikhtilat (pergaulan bebas) dengan istilah adik angkat, abang angkat. Dan banyak lagi.

Inikah bukti CINTAMU?

Adakah kau ingin membina mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi?


Sekadar pengkongsian serba sedikit artikel bertajuk Menduakan CintaNya nukilan Fatimah Syarha yang saya baca di majalah SOLUSI isu no. 29, Mencipta Syurga Rumah Tangga. Bagi yang ingin membaca artikel lengkap, sila BELI majalah SOLUSI. Beli jangan tak beli, tak rugi, malah bermanfaat!

Cinta indah, berkat lagi suci setelah kahwin. No love until akad!

0 sila..silakan komen..:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Blog Template by BloggerCandy.com